KOTA KINABALU: Seramai 110 wakil belia menghadiri Sidang Pertama, Penggal Ke-35 Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Negeri Sabah yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin di Shangri-La Rasa Ria Resort, Tuaran.
Ellron menegaskan belia Sabah perlu tampil sebagai pemimpin masa depan yang berwibawa.
“Golongan belia perlu berfikiran idealistik serta bersedia menjayakan agenda pembangunan negeri.
“Sabah mempunyai keunikan tersendiri melalui budaya, sumber alam dan perpaduan rakyat.
“Kementerian akan terus memastikan suara belia didengar dalam penggubalan dasar negeri,” katanya.
Sebanyak 11 usul dibawa termasuk isu dadah, kekurangan pusat latihan TVET, pemilikan rumah rendah dalam kalangan belia serta penyelidikan ekonomi belia.
Wakil Majlis Belia Sabah, Helmi Milus, turut mencadangkan umur belia di Sabah dikekalkan 15 hingga 40 tahun.
Presiden Majlis Belia Sabah, Abqaree Fawwaz Abekan, pula mengingatkan anak muda agar tidak mudah dipengaruhi maklumat songsang.
“Golongan belia harus berfikir bijak dan kritis, bukan dikawal emosi oleh berita janggal. Kita mahu idea yang membawa kejayaan negeri dan negara,” katanya.
Turut hadir, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Fairuz Renddan, Setiausaha Tetap Kementerian Datuk Mansur Hj Asun serta pemimpin agensi kerajaan negeri dan persekutuan.






