KUALA LUMPUR: Tiga Senator dari Sabah menzahirkan keprihatinan bersama mengenai isu keselamatan jalan raya di negeri itu ketika sesi soal jawab di Dewan Negara baru-baru ini.
Senator Datuk Nelson Wences Angang mengajukan soalan kepada Menteri Kerja Raya mengenai rancangan kerajaan menambah lampu jalan dari Kampung Manggis ke Benoni, Papar serta memperbaharui garisan pembahagi jalan yang didakwa membahayakan pengguna, khususnya pada waktu malam.
Senator Datuk Edward Linggu Bukut turut mencelah bagi menyokong isu yang dibangkitkan, manakala Senator Datuk Bobbey Suan pula tampil dengan soalan susulan yang memperkukuh kebimbangan keselamatan pengguna jalan raya di Sabah.
Bagaimanapun, jawapan yang diberikan Timbalan Menteri Kerja Raya dianggap kurang memuaskan apabila beliau seakan-akan mengajukan persoalan sama ada rakyat mahu jalan berlubang ditampal dalam tempoh 24 jam atau pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).
Menurut Datuk Edward Linggu, rakyat Sabah tidak seharusnya memilih antara kedua-duanya kerana jalan yang selamat dan sistem pemantauan berterusan merupakan keperluan asas.
“Di Lembah Klang, hampir setiap lebuh raya dipantau melalui CCTV dan sistem ITIS yang membantu mengawal trafik serta keselamatan pengguna. Mengapa Pan Borneo, lebuh raya utama yang menghubungkan negeri dan negara, masih belum mempunyai sistem pengawasan setara? Jalan boleh ditampal, tetapi keselamatan nyawa rakyat Sabah bukan sesuatu yang boleh ditampal sementara,” tegas beliau.






