KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua menteri dan timbalan menteri untuk menghentikan sementara lawatan rasmi ke luar negara, berkuat kuasa serta-merta.
Menurut Anwar, langkah itu diambil bagi memastikan seluruh kepimpinan kerajaan menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap persiapan pembentangan Belanjawan 2026 dan juga Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada penghujung Oktober ini.
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, arahan tersebut dimaklumkan Perdana Menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri pagi tadi.
“Keutamaan kini adalah menyediakan Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada 10 Oktober depan serta memastikan persiapan rapi menjelang Sidang Kemuncak ASEAN. Mesyuarat itu bakal menghimpunkan pemimpin-pemimpin utama dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat dan Perdana Menteri China,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya, hari ini.
Fahmi menjelaskan, arahan itu melibatkan semua lawatan luar negara oleh anggota Kabinet, kecuali program yang telah dijadualkan lebih awal atau lawatan yang mendapat pertimbangan khas daripada Jemaah Menteri.
Beliau turut menegaskan bahawa fokus kerajaan adalah memastikan perjalanan Sidang Kemuncak ASEAN berjalan lancar, memandangkan Malaysia menjadi tuan rumah bagi acara berprestij tersebut yang akan turut memberi kesan besar kepada imej negara di mata dunia.
“Sidang ini penting bukan sahaja dari sudut diplomasi tetapi juga untuk memperkukuh kedudukan ekonomi dan kerjasama strategik Malaysia dengan negara serantau serta kuasa besar dunia. Oleh itu, semua pihak dalam kerajaan perlu memberi sepenuh tumpuan,” tambahnya seperti dilaporkan Bernama.






