Dana 1MDB: Malaysia Terima Semula RM39 Juta

Dana 1MDB: Malaysia Terima Semula RM39 Juta

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya mendapatkan semula aset bernilai US$8.57 juta (RM39.1 juta) milik ahli kewangan buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, serta ahli keluarganya dengan kerjasama pihak berkuasa Singapura.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan baru-baru berkata, pemulangan itu adalah sebahagian daripada penyelesaian sivil global Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Akaun lain milik keluarga Low turut dijadual dipulangkan dalam masa terdekat, dan semua dana akan dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Pemulihan Aset 1MDB,” kata SPRM.

Setakat ini, pihak berkuasa AS telah memperoleh lebih US$1.5 bilion (RM6.9 bilion) aset berkait Low, kebanyakannya telah dipulangkan ke Malaysia.

Dengan tambahan terbaru ini dan penyelesaian US$330 juta (RM1.4 bilion) bersama JPMorgan Chase & Co, jumlah aset yang berjaya dikembalikan ke Malaysia meningkat kepada RM31.19 bilion.

SPRM menegaskan pemulihan itu menunjukkan komitmen berterusan kerajaan melalui pasukan petugas khas melibatkan Jabatan Peguam Negara, Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional.

“Kes 1MDB kekal antara jenayah kewangan terbesar dunia. Kerajaan Malaysia komited membawa pulang semua dana dan aset yang diseleweng serta memastikan individu dan institusi terlibat dipertanggungjawabkan,” tambah SPRM.

Jho Low, yang didakwa dalang penyelewengan berbilion ringgit dana 1MDB, kekal buruan sejak 2016 dan berdepan pertuduhan jenayah di Malaysia serta AS.