KOTA KINABALU: Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengumumkan penemuan spesies baharu tardigrad marin yang dinamakan Batillipes malaysianus, hasil tinjauan di perairan Labuan.
Ketua penyelidik, Profesor Madya Dr. Chen Cheng Ann berkata, penemuan tersebut dilakukan melalui dua siri tinjauan lapangan pada 29 November 2023 dan 16 September 2024 bersempena Hari Malaysia.
Menurutnya, penemuan itu merupakan kemas kini pertama rekod tardigrad marin negara sejak tahun 1967 sekali gus menyerlahkan kepelbagaian biologi Malaysia.
“Kami menamakan Batillipes malaysianus sebagai simbol meraikan 68 tahun Kemerdekaan Malaysia. Walaupun kepadatannya rendah, ciri diagnostik yang ditemui mengesahkan ia benar-benar spesies baharu dalam sains,” katanya.
Hasil kajian tersebut telah diterbitkan dalam Journal of the Marine Biological Association of the United Kingdom pada Jun lalu, sekaligus menonjolkan kepakaran tempatan dalam bidang taksonomi serta mengukuhkan kepentingan pemuliharaan pantai sebagai habitat mikrofauna yang bernilai.
Sepanjang dua lawatan persampelan, pasukan penyelidik menemui enam individu genus Batillipes, termasuk satu spesies baharu (Batillipes malaysianus) dan satu rekod baharu negara bagi Batillipes rotundiculus. Semua spesimen berkenaan kini disimpan dalam Koleksi Institut Penyelidikan Marin Borneo (BMRI) sebagai rujukan saintifik kekal.
Kajian tersebut diketuai oleh Dr. Chen bersama pelajar pascasiswazah UMS, Ng Wei-Ling; seorang penyelidik dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS); serta Prof. Dr. Tadashi Kajita dari University of the Ryukyus, Jepun.
Dr. Chen turut mencadangkan agar tinjauan lebih meluas dijalankan dengan penggunaan kaedah molekul moden seperti eDNA bagi mendedahkan kepelbagaian sebenar mikrofauna marin Malaysia.






