Bayangkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, masih kecil dan lincah bermain, tetapi hidupnya kini terikat dengan temujanji hospital setiap minggu.
Puncanya bukan kemalangan, bukan keturunan, tetapi tabiat makan yang dibentuk sejak kecil – penuh dengan nugget, sosej dan jajan manis.
Seorang pengasuh mendedahkan kisah seorang budak lelaki yang tidak pernah kenal rasa nasi atau sayur, kerana ibunya lebih rela membekalkan makanan segera beku berbanding menyediakan hidangan segar.
Setiap dua minggu, hanya dua bungkus nugget menjadi bekalan utama.
Hasilnya, kanak-kanak itu kini bukan sahaja menghidap diabetes di usia terlalu muda, malah doktor juga mengesan masalah saluran darah yang tersumbat iaitu penyakit yang biasanya menyerang orang dewasa.
Kisah ini menimbulkan persoalan besar. Siapa sebenarnya yang bersalah? anak yang merayu mahu makan nugget, atau ibu bapa yang gagal berkata tidak.
Ramai warganet memberi amaran, kasih sayang yang membutakan disiplin hanyalah racun perlahan.
Anak mungkin ketawa hari ini, tetapi menderita sakit sepanjang hayat kelak.
Ada juga yang berkongsi pandangan bahawa makanan seperti nugget atau sosej tidak semestinya diharamkan, tetapi biarlah ia dibuat sendiri di rumah, dengan bahan segar, bukan produk kilang sarat pengawet.
Sama ada ia diabetes jenis 1 atau akibat pemakanan, mesejnya tetap jelas: biarkan anak terus hidup dengan diet jajan, dan kita sedang menempah masa depan penuh hospital, ubat, dan penderitaan.






