Oleh: Ahmad Fazlan Shah Abd Rahman
MEMBAKUT, 18 September: Seramai 10 petani di Blok 7, Kampung Pimping menerima sumbangan mesin penyembur benih padi yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco Agama dan Pendidikan berkata, Blok 7 kini telah dibangunkan semula seluas 60 ekar daripada lebih 300 ekar kawasan padi yang sebahagiannya sebelum ini terbengkalai.
“Petang ini saya melawat kawasan padi di Membakut. Kawasan ini lebih 300 ekar. Sebahagiannya dibangun semula selepas lama terbengkalai. Alhamdulillah, sejak 10 tahun lalu sudah kita bangunkan semula di mana Blok 7 ini berjaya dibangunkan seluas 60 ekar.
“Saya juga turun untuk menyampaikan bantuan kepada petani dan meninjau kesan banjir. Jika tanaman padi ini terjejas, saya akan membawa perkara ini ke kementerian berkenaan untuk mendapatkan bantuan.
“Harapan kita agar tanaman padi berjaya dituai dalam masa sebulan sahaja lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan mesin penyembur benih padi kepada 10 petani di sini, hari ini.
Sementara itu, salah seorang petani penerima bantuan, Omar Mukim, 50, menzahirkan ucapan terima kasih atas keprihatinan ADUN Membakut yang sentiasa turun padang memberi sokongan kepada para petani.
“Terima kasih kepada Datuk Arifin kerana prihatin dan sudi membantu petani dan pesawah di sini,” katanya.
Jumlah mangsa banjir di Sabah semakin meningkat kepada 3,325 orang daripada 964 keluarga petang ini berbanding 3,134 orang daripada 916 keluarga pada Khamis.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di 28 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan enam daerah iaitu Beaufort, Membakut, Penampang, Papar, Putatan dan Sipitang.






