Ketua Menteri Saksikan Perjanjian Usahasama Loji Nyahgaram Air SK SIP

Ketua Menteri Saksikan Perjanjian Usahasama Loji Nyahgaram Air SK SIP

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Usahasama antara Sawit Palm Oil Industrial Cluster Sdn. Bhd. (SPOIC), anak syarikat Kumpulan Sawit Kinabalu, dengan Jetama Sdn. Bhd. (JSB) bagi pembangunan Loji Penyahgaraman Air berkapasiti dua juta liter sehari (2MLD) di Sawit Kinabalu Sandakan Industrial Park (SK SIP).

Majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Kumpulan Sawit Kinabalu, Menara Kinabalu itu turut disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong, dan Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu, Datuk Rubin Balang.

Perjanjian dimeterai oleh Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Victor Ationg, bersama Pengerusi Jetama Sdn. Bhd., Datuk Yusof Mannan.

Ia turut disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Jetama, Datuk Ahmad Naim Uddang, serta Timbalan CEO Kumpulan Sawit Kinabalu, Datin Stella Ambrose.

Kerjasama strategik ini mengukuhkan peranan kedua-dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam membangunkan infrastruktur industri bersepadu di Sandakan.

SK SIP yang berkeluasan 1,010 ekar dibangunkan sebagai taman perindustrian lengkap dengan kemudahan asas, sekali gus mempelbagaikan ekonomi negeri, menarik pelaburan strategik, serta merancakkan pembangunan industri hiliran di Sabah.

Loji nyahgaram yang akan menggunakan teknologi Reverse Osmosis (RO) itu dijangka mampu menghasilkan air terawat gred industri secara mampan. Ia menjadi komponen utama dalam menyokong pertumbuhan industri serta memenuhi keperluan komuniti setempat.

Dalam kenyataan bersama, Datuk Victor Ationg menegaskan projek itu bakal menjadi pemangkin pembangunan sosioekonomi Sabah dengan membuka peluang pekerjaan, merangsang pertumbuhan industri hiliran dan memastikan bekalan air stabil untuk kawasan industri.

“Usahasama ini mencerminkan komitmen berterusan dua GLC dalam menyokong agenda pembangunan negeri serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Sabah,” katanya.