Oleh: Mirlen Axtius
KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, hari ke-13 hari ini mendedahkan keterangan saksi kanak-kanak kedua yang mengesahkan pelajar A pernah dimarahi guru dengan kata-kata kesat
Peguam Joan Goh yang mewakili pelajar A berkata, saksi kanak-kanak itu memberitahu mahkamah bahawa guru terbabit mengeluarkan ungkapan menghina, antaranya menyatakan “lebih baik bawa pulang anjing daripada pelajar A”.
Katanya, insiden itu berlaku ketika pelajar A tiada di dalam kelas.
Saksi turut menjelaskan bahawa dalam peraturan asrama, sebarang masalah yang berlaku perlu dirujuk terlebih dahulu kepada ketua dorm sebelum dibawa ke pengetahuan warden, meskipun warden tinggal di aras bawah bangunan asrama.
Menurut Joan Goh lagi, prosiding hari ini selesai kira-kira jam 4.15 petang selepas saksi kanak-kanak kedua menamatkan keterangannya dan mahkamah dijadual mendengar keterangan saksi kanak-kanak ketiga bermula esok pagi.
Ram Singh, seorang lagi peguam yang mewakili pelajar A, berkata isu liputan media terhadap prosiding saksi kanak-kanak turut dibangkitkan dalam mahkamah.
Menurutnya, semua pihak pada dasarnya tidak membantah, namun garis panduan jelas perlu dirangka bagi melindungi identiti serta keselamatan saksi kanak-kanak.
“Media mungkin dibenarkan masuk, tetapi bagaimana liputan itu dilaksanakan perlu ditentukan. Walaupun mereka dirujuk sebagai A, B, C atau nombor, cara pelaporan masih boleh menjejaskan mereka. Jadi garis panduan perlu ditetapkan sama ada oleh pihak koroner atau semua pihak di mahkamah,” kata Ram Singh.
Beliau menambah bahawa perintah larangan (gag order) masih berkuat kuasa dan sebarang pelanggaran boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Masyarakat berhak tahu perkembangan kes ini, tetapi pada masa sama kita mesti berhati-hati. Kes ini sangat sensitif kerana melibatkan lebih 30 saksi kanak-kanak,” jelasnya.
Joan Goh turut menyatakan kebimbangan mengenai saksi yang tampil melalui kamera, kerana mereka masih boleh melihat ramai orang di belakang mahkamah, sekali gus menimbulkan rasa takut.
Katanya, penyesuaian teknikal mungkin diperlukan agar proses memberi keterangan lebih selesa untuk saksi kanak-kanak.
Prosiding akan bersambung esok dengan keterangan saksi kanak-kanak ketiga, manakala garis panduan liputan media dijangka diperhalusi sebelum perbicaraan diteruskan.






