Peniaga Bazar Ramadan Perlu Ambil Suntikan Tifoid-Mayor

Peniaga Bazar Ramadan Perlu Ambil Suntikan Tifoid-Mayor

0
SHARE
Sabin
Sabin memberitahu Program Friendly Ride Bersama Toh Puan itu diadakan bagi mempromosikan gaya hidup sihat ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Setiap peniaga atau pengusaha makanan di bazar Ramadan diingatkan untuk mengambil suntikan Tifoid sebagai langkah menjamin keselamatan makanan.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, setiap pengendali makanan terutama peniaga di bazar Ramadan seliaan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) perlu mengambil imunisasi tersebut termasuklah usahawan kecil yang berniaga di hadapan atau kaki lima rumah.

“Suntikan vaksinasi ini penting untuk mencegah jangkitan Tifoid atau demam kepialu yang mudah menular melalui makanan dan minuman yang dicemari bakteria Salmonella typhi.

“Setiap pengendali makanan juga perlulah memastikan peralatan yang digunakan untuk penyediaan makanan atau minuman seperti alat pemotong, apron dan penutup kepala dalam keadaan bersih.

“Di samping itu, makanan yang dijual haruslah segar dan sentiasa ditutup agar terhindar dari lalat serta habuk,” katanya ketika ditemui media pada Program Friendly Ride Bersama Toh Puan, pada Sabtu.

Program tersebut disertai 200 individu dan merupakan kelolaan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama PUSPANITA Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu, PEMADAM Bandaraya, Kelab REKA DBKK serta DBKK Cycling Team yang diadakan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun DBKK ke-24.

Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah R.M. Jasni dan Pengerusi PUSPANITA Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu, Datin Seri Adreen Aderizza Mohamad mengetuai kumpulan berbasikal dan berjaya menamatkan kayuhan 30 kilometer yang dilepaskan oleh Ketua Pengarah DBKK, Junainah Abbie di Padang Merdeka Kota Kinabalu pada 7 pagi.

Sabin juga menyatakan DBKK melalui Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya dengan kerjasama Kementerian Kesihatan akan mengadakan pemeriksaan dan pengambilan sampel makanan kepada para peniaga di 15 lokasi bazar Ramadan.

“Enam daripadanya adalah di bawah seliaan DBKK dan ini dilakukan bagi memastikan setiap peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

“Sepanjang bulan Ramadhan tahun ini, DBKK membenarkan peniaga kecil terutama suri rumah untuk berjualan di kawasan atau kaki lima rumah masing-masing namun mesti mengutamakan aspek keselamatan seperti tidak menghalang lalulintas orang awam dan perlu mengambil suntikan Tifoid,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, Toh Puan Norlidah turut menyantuni 120 orang golongan asnaf Bandaraya Kota Kinabalu melalui penyampaian sumbangan tunai daripada Yayasan Nur Jauhar (YNJ). — JABATAN PENERANGAN SABAH