Kerajaan Giat Usaha Diplomatik Bebaskan Aktivis Malaysia – PMX

Kerajaan Giat Usaha Diplomatik Bebaskan Aktivis Malaysia – PMX

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan sedang giat menjalankan usaha diplomatik dan perhubungan dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan aktivis dan sukarelawan Malaysia serta antarabangsa yang ditahan oleh tentera Israel dibebaskan dengan segera.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasminya hari ini, Perdana Menteri menegaskan komitmen kerajaan untuk menggunakan semua saluran yang ada, termasuk diplomatik, bagi mempercepatkan proses pembebasan tahanan, termasuk rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan ke Gaza.

“Saya dan pasukan sedang giat berhubung dengan pihak berkepentingan termasuk saluran diplomatik dalam usaha memastikan sukarelawan dan aktivis Malaysia, ASEAN dan antarabangsa dibebaskan dengan segera,” katanya.

Perdana Menteri turut menyampaikan kata-kata semangat kepada keluarga aktivis dan sukarelawan yang kini berdepan saat genting, sambil menyeru rakyat Malaysia untuk terus berdoa agar semua mereka berada dalam keadaan selamat.

“Kepada ahli keluarga semua aktivis dan sukarelawan, semoga terus diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi detik mencabar ini. Perkembangan setiap proses menuju pembebasan akan dimaklumkan dari masa ke masa.

“Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa agar semua tahanan, khususnya warga Malaysia, berada dalam keadaan selamat dan terpelihara,” tambahnya.

Kenyataan ini menyusul selepas laporan mengenai penahanan aktivis flotilla kemanusiaan Global Sumud oleh tentera Israel ketika mereka dalam perjalanan menghantar bantuan ke Semenanjung Gaza.

Kerajaan Malaysia sebelum ini turut mengecam keras tindakan tersebut dan menuntut pembebasan segera semua tahanan.

Malaysia menegaskan keselamatan rakyatnya di luar negara, termasuk mereka yang terlibat dalam misi kemanusiaan, akan terus menjadi keutamaan negara serta akan menggunakan semua saluran sah untuk memastikan hak dan keselamatan mereka dilindungi.