Ribut Petir Gerak ke Daratan Sabah, Penduduk Diminta Berwaspada

Ribut Petir Gerak ke Daratan Sabah, Penduduk Diminta Berwaspada

0
SHARE

KOTA KINABALU: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca awal pagi ini berhubung kejadian ribut petir jenis Squall Line yang sedang aktif di perairan barat Sabah dan dijangka melanda kawasan daratan dalam tempoh beberapa jam akan datang.

Amaran yang dikeluarkan pada jam 7:30 pagi itu berkuat kuasa sehingga tengah hari ini, melibatkan kawasan utama di Bahagian Pantai Barat Sabah, khususnya Wilayah Persekutuan Labuan dan Kuala Penyu pada waktu pagi.

Sistem ribut petir ini sedang bergerak dari arah laut menuju ke daratan, berpotensi membawa hujan lebat sementara serta tiupan angin kencang di kawasan terlibat.

MetMalaysia turut menjangkakan fenomena ini boleh merebak ke beberapa kawasan lain di Pantai Barat seperti Papar, Bongawan, Kinarut, Putatan, Kota Kinabalu, Penampang, Tuaran dan Kota Belud dalam tempoh beberapa jam akan datang.

Walaupun terdapat kemungkinan intensiti ribut berkurang ketika masih berada di laut, awan ribut yang terbentuk tetap berpotensi menghasilkan hujan dan angin sederhana apabila menghampiri daratan.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap tiupan angin kuat, keadaan jalan raya yang licin serta mengelakkan sebarang aktiviti laut dan kawasan terbuka sepanjang tempoh amaran ini.

Pemantauan keadaan cuaca dijalankan secara berterusan dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.