KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tanjung Aru tampil menghulurkan sokongan moral dan bantuan makanan kepada sebuah keluarga yang terjejas akibat kejadian rumah roboh di Kampung Tanjung Aru Lama berhampiran Masjid Al-Kauthar pagi tadi.
Bantuan disampaikan oleh pasukan sukarelawan Gagasan Rakyat Tanjung Aru yang diketuai Dr. Ritchie Jay Cheng bersama Ketua Kampung Tanjung Aru Lama sebagai tanda keprihatinan terhadap mangsa yang mengalami kecederaan dan kerosakan rumah.
Dr. Ritchie berkata tindakan segera itu mencerminkan komitmen Gagasan Rakyat terhadap kebajikan masyarakat selaras dengan visi Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang menekankan kerjasama antara kerajaan dan rakyat dalam membantu golongan memerlukan.
Beliau turut menzahirkan simpati kepada mangsa serta berterima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu atas tindakan pantas menyelamatkan mangsa.
Menurut laporan Bomba, rumah atas air jenis kayu itu sebahagiannya roboh pada jam 8.47 pagi, menyebabkan dua lelaki berusia 44 tahun cedera.
Kedua-dua mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut.
“Gagasan Rakyat Tanjung Aru akan terus bekerjasama dengan kepimpinan kampung dan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan penduduk di kawasan tersebut sentiasa terjamin,” Dr Ritchie berkata.






