KOTA KINABALU: Kes seorang bapa yang merogol dua anak perempuannya di Lahad Datu sehingga dijatuhi hukuman penjara 165 tahun dan 110 sebatan baru-baru ini mencetuskan kebimbangan serius serta menyerlahkan keperluan mendesak untuk memperkukuh usaha pencegahan di peringkat keluarga dan komuniti.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, insiden itu amat menyedihkan dan tidak sepatutnya berlaku, sambil menegaskan bahawa pendekatan pencegahan perlu diperkasa secara menyeluruh.
“Walaupun pelaku perlu berdepan tindakan undang-undang, pencegahan adalah sama penting. Usaha ini memerlukan penglibatan keluarga, komuniti serta institusi keagamaan bagi menangani isu sosial ini secara lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes tersebut selepas program Hari Raya KWKKR bersama Menteri di sini pada Khamis.
Menurut laporan, lelaki berusia 54 tahun itu melakukan perbuatan berkenaan selama beberapa tahun sebelum mengaku bersalah terhadap 11 pertuduhan di mahkamah.
Mengulas lanjut, Julita menggesa mangsa penderaan supaya tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa, sambil memberi jaminan bahawa bantuan dan perlindungan sentiasa tersedia.
Katanya, kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) menyediakan pelbagai sokongan termasuk Rumah Perlindungan Wanita (RUPAWAN) yang menawarkan perlindungan sementara, keselamatan serta pemulihan kepada mangsa dalam situasi krisis.
Selain itu, Pusat Bantuan Guaman Wanita (PBGW) turut menyediakan khidmat nasihat dan bantuan guaman melibatkan kes keganasan rumah tangga, perceraian serta hak penjagaan anak bagi memastikan mangsa mendapat pembelaan sewajarnya.
“Kementerian akan terus mempergiat program advokasi, kesedaran dan literasi undang-undang bagi menggalakkan intervensi awal serta memperkukuh nilai kekeluargaan dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sambutan Hari Raya anjuran kementerian di Wisma Wanita, di sini, yang turut menghimpunkan warga kementerian serta jabatan dan agensi di bawahnya.






