TAWAU: Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) menggantung keahlian dan jawatan Timbalan Presiden Datuk Rina Haji Jainal selama tiga tahun berkuat kuasa serta-merta, susulan dakwaan gagal membawa nama parti dan bertindak bertentangan dengan kepentingan organisasi itu di DUN Kukusan.
Langkah tegas itu dibuat selepas siasatan Jawatankuasa Disiplin PHRS mendapati Rina, yang juga penyandang kerusi DUN Kukusan, tidak aktif mempromosikan parti dalam tempoh hampir dua tahun termasuk tidak menggunakan logo atau bendera parti di pejabat khidmat wakil rakyat.
Menurut kenyataan rasmi PHRS, tindakan Rina turut dikatakan menjejaskan usaha parti memperjuangkan isu pewartaan empat perkampungan di kawasan Lapangan Terbang Lama, Tawau.
“Perbuatan beliau bukan sahaja menjejaskan nama baik parti malah memberi kesan terhadap persepsi masyarakat terhadap kepimpinan PHRS dan Presiden Tan Sri Liew Yun Fah,” menurut surat yang ditandatangani Setiausaha Agung PHRS, Christy Chok Lee Lui.
Susulan itu, kepimpinan parti menyerahkan tanggungjawab mengurus pergerakan dan aktiviti parti di DUN Kukusan kepada Ketua Bahagian, Hajah Samsiah.
Dalam mesyuarat bersama barisan kepimpinan tertinggi dan Ketua-Ketua Cawangan, PHRS turut memutuskan untuk tidak menamakan Rina sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijadual pada 29 November ini.
Keputusan itu disifatkan sebagai langkah memastikan PHRS terus kekal kukuh dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta tidak diganggu oleh kepentingan peribadi mana-mana pihak.






