KENINGAU: Calon Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri), Dionysia Ginsos, tidak gentar berdepan persaingan sengit tujuh penjuru bagi kerusi DUN Tambunan pada Pilihan Raya Negeri Sabah, 29 November ini.
Satu-satunya calon wanita dalam pertarungan tersebut berkata, beliau melihat gelanggang politik Tambunan sebagai cabaran yang mengujakan, khususnya dengan kehadiran tokoh terkenal seperti Presiden STAR Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Ketua PGRS Tambunan Dato’ Victor P Paut yang bertanding atas tiket GRS.
“Saya menerima keputusan kepimpinan menempatkan saya di Tambunan. Bukan mudah berdepan tokoh legenda, tetapi sebagai calon ‘underdog’, saya akan berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan sokongan rakyat,” katanya.
Dionysia, 33, yang memiliki ijazah sarjana ekonomi, menyatakan demikian dalam hantaran terbaharu di media sosial sempena Hari Penamaan Calon di Dewan Komuniti Keningau, hari ini.
“Kita mahu melihat Tambunan muncul sebagai salah satu daerah paling maju di Sabah pada masa depan, dan masih banyak yang perlu dilakukan untuk mencapainya,” katanya.
Sehubungan itu, Dionysia menggesa rakyat memberi peluang kepada pemimpin muda yang berwawasan dan berkualiti bagi membawa Tambunan menuju era kecemerlangan.






