Lelaki Asal Menggatal Jadi Mangsa Sindiket Pemerdagangan Manusia di Kemboja

Lelaki Asal Menggatal Jadi Mangsa Sindiket Pemerdagangan Manusia di Kemboja

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 30 tahun berasal dari Menggatal menjadi mangsa terbaharu sindiket pemerdagangan manusia selepas diperdaya dengan tawaran kerja palsu ke Singapura sebelum dibawa ke Kemboja.

Ketua Pegawai Operasi Malaysia International Humanitarian Organisation (MHO) Sabah, Kapten (B) Jerry Jaimeh berkata, mangsa secara senyap membuat pasport pada Oktober untuk menerima tawaran kerja bergaji lumayan.

“Sebaliknya, beliau dibawa ke pusat penipuan di Kemboja, dokumen peribadinya dirampas dan dia dipukul dengan objek keras serta dikenakan renjatan elektrik.

“Mangsa turut mendakwa tidak diberi makan selama hampir seminggu untuk memaksa keluarga membayar wang tebusan.

“Mangsa kali terakhir menghubungi ibu saudranya pada 29 November lalu, bagi memaklumkan dirinya hanya mampu bertahan dengan air paip sebagai alas perut sementara sindiket menuntut USD10,000 (kira-kira RM47,000) untuk pembebasannya,” katanya.

Ibu mangsa berusia 61 tahun dan ibu saudaranya, 55, hadir pada sidang media pada Khamis merayu bantuan menyelamatkan beliau.

Jerry berkata ini adalah kes ketujuh pemerdagangan manusia membabitkan rakyat Sabah yang dikesan MHO tahun ini. Menurutnya, lima berjaya diselesaikan.

Beliau menjelaskan sindiket kecil biasanya menjual mangsa-mangsa kepada kumpulan lebih besar melalui kaedah bidaan.

“Mangsa yang enggan melakukan kerja penipuan akan terus dijual semula.

“Bayar tebusan tidak menjamin mangsa dibebaskan. Jika dianggap tidak menguntungkan, risiko mereka dijadikan sasaran untuk pengambilan organ semakin tinggi,” katanya.

MHO kini bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan antarabangsa untuk mengesan lokasi mangsa sebelum dia dipindahkan lebih jauh ke kawasan kawalan sindiket.

Jerry mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja luar negara yang mencurigakan.