Pemergian Bung Kehilangan Besar Buat UMNO dan BN – Zahid Hamidi

Pemergian Bung Kehilangan Besar Buat UMNO dan BN – Zahid Hamidi

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan, Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, seluruh kepimpinan UMNO dan BN amat berdukacita atas kehilangan seorang pemimpin yang telah banyak berjasa kepada parti dan negeri.

“Kami benar-benar terasa kehilangan beliau. Saya berharap keluarga Allahyarham dapat menerima ketentuan Allah SWT dengan tabah dan reda,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi serta menunaikan solat jenazah di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, pada Jumaat.

Zahid turut mengajak seluruh ahli UMNO dan umat Islam untuk terus mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Menurut beliau, jasa Bung Moktar terhadap UMNO Sabah sangat besar, khususnya ketika parti itu melalui detik sukar selepas Pilihan Raya Umum 2018.

“Allahyarham antara tiga daripada 25 Ketua Bahagian yang kekal setia mempertahankan UMNO ketika itu, dan menjadi pemacu kebangkitan semula parti di Sabah dan di peringkat nasional,” katanya.

Pemergian tokoh berusia 66 tahun itu bukan sahaja dirasai kepimpinan parti, malah turut meninggalkan kesan mendalam kepada ahli UMNO dan rakyat yang mengenali keberanian serta ketegasan beliau dalam memperjuangkan nasib rakyat Sabah.