Projek Asas Dipercepat, Isu 40 Peratus Hasil Sabah Dibentang Sebelum Pertengahan Januari...

Projek Asas Dipercepat, Isu 40 Peratus Hasil Sabah Dibentang Sebelum Pertengahan Januari – PMX

0
SHARE

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk mempercepat pelaksanaan projek asas di Sabah termasuk air, elektrik dan jalan raya, sambil memastikan isu tuntutan geran khas 40 peratus untuk negeri itu dimuktamadkan mengikut parameter yang jelas sebelum pertengahan Januari 2026.

Berucap pada program Sentuhan Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini, Anwar berkata, tumpuannya kini adalah memastikan setiap janji pembangunan dilaksanakan segera selepas pilihan raya, dan bukan sekadar pengumuman politik.

Beliau berkata kerajaan telah meluluskan peruntukan besar bagi projek air, elektrik, Pan Borneo dan jalan kampung, namun mengakui rungutan rakyat bahawa pelaksanaan di lapangan masih perlahan.

Bagi mengatasi masalah itu, Anwar berkata bermula Januari 2025, Unit Pemantauan di Jabatan Perdana Menteri akan melaksanakan pemantauan bulanan bersama Kerajaan Negeri bagi memastikan setiap projek Persekutuan dan Negeri berjalan mengikut jadual.

Mengulas isu pembayaran hasil 40 peratus kepada Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Anwar memaklumkan mesyuarat teknikal antara Persekutuan dan Negeri sedang berlangsung dan keputusan awal akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.

“Saya beri jaminan, komitmen Persekutuan terhadap penyerahan hasil 40 peratus tetap tidak berubah. Kita hanya perlu memuktamadkan parameter dan kaedah pelaksanaannya,” katanya.

Beliau menjelaskan kekosongan empat jawatan penting Persekutuan yang perlu diisi telah menyebabkan sedikit kelewatan, namun rundingan dijangka dimuktamadkan sebelum pertengahan Januari.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa pelaksanaan berkaitan MA63 sedang bergerak lebih cepat berbanding sebelum ini.

Beberapa perkara yang melibatkan pindaan undang-undang seperti penyerahan kuasa elektrik telah dilaksanakan, manakala isu lain termasuk kedudukan wakil Sabah dan Sarawak dalam lembaga-lembaga utama negara akan dibawa ke Parlimen jika memerlukan pindaan.

Anwar turut mengumumkan keputusan Jemaah Menteri untuk menaikkan ambang pelaksanaan e-invois bagi perniagaan kecil daripada RM500,000 kepada RM1 juta, bagi mengurangkan beban kepada peniaga kecil termasuk peniaga bumiputera dan komuniti Cina di bandar.

Kerajaan juga meluluskan tambahan RM4 bilion, meningkat daripada RM2 bilion untuk mempercepat pembayaran balik tunggakan cukai kepada peniaga kecil yang menunggu lama.

Anwar dalam pada itu turut menzahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor atas kerjasama erat antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan, sambil menegaskan bahawa politik pasca pilihan raya harus kembali kepada agenda pembangunan rakyat.

“Ini bukan soal parti. Kita boleh bertembung dalam pilihan raya, tetapi yang sengsara ialah rakyat kalau kita bergaduh tanpa henti,” katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa dalam tempoh satu hingga dua bulan, beberapa keputusan penting berkaitan elektrik, air dan jalan kampung akan dimuktamadkan dan diberikan keutamaan.