Lelaki Maut Lori 10 Tan Terbabas di Jalan Sri Apas

Lelaki Maut Lori 10 Tan Terbabas di Jalan Sri Apas

0
SHARE

TAWAU: Seorang lelaki berusia 58 tahun maut selepas lori muatan 10 tan yang dipandunya terbabas sendiri di bahu jalan di Jalan Sri Apas, di sini, pada Jumaat.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.37 tengah hari sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau digerakkan ke lokasi kejadian, kira-kira 23 kilometer dari balai.

Komander Operasi, PBK I Jehrey Ibno berkata, pasukan tiba di lokasi pada jam 12.58 tengah hari dan mendapati seorang mangsa lelaki tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

“Pasukan bomba menjalankan kerja penyelamatan dan berjaya mengeluarkan mangsa. Bagaimanapun, pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Operasi turut membabitkan dua pegawai perubatan KKM serta lima anggota polis. Bagi pihak bomba, operasi menggunakan jentera FRT yang membawa lima anggota serta sebuah unit EMRS dengan dua anggota.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.04 petang.