Polis Sita Empat Motosikal, Satu Kereta dan Keluarkan 20 Saman di Lahad...

Polis Sita Empat Motosikal, Satu Kereta dan Keluarkan 20 Saman di Lahad Datu

0
SHARE

LAHAD DATU: Polis Daerah Lahad Datu menyita empat buah motosikal dan sebuah motokar, selain mengeluarkan 20 saman dalam Operasi Motosikal (Samseng Jalanan) yang dijalankan di beberapa lokasi panas sekitar bandar ini, awal pagi Isnin.

Operasi yang berlangsung dari 12 tengah malam hingga 4 pagi itu melibatkan seramai 12 pegawai dan anggota daripada pelbagai bahagian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, dan diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Lahad Datu, Inspektor Mohd Riduan Abdullah @ Mustaffa.

Antara kawasan tumpuan operasi ialah Bandar Lahad Datu, Bandar Fajar, Jalan Airport, Bandar Sri Perdana dan Jalan Pan Borneo, yang dikenal pasti sebagai lokasi kerap berlaku aktiviti samseng jalanan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Polis (ACP) Dzulbaharin Ismail, berkata sepanjang operasi, polis mengeluarkan 20 saman atas pelbagai kesalahan trafik termasuk tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, tiada cermin sisi serta pengubahsuaian ekzos dan struktur peralatan kenderaan.

“Sebanyak satu motokar dan empat motosikal turut disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, seramai 18 individu dan 14 kenderaan telah diperiksa, selain empat sesi advokasi keselamatan jalan raya dijalankan bagi meningkatkan kesedaran pengguna terhadap kepentingan mematuhi peraturan lalu lintas.

Menurutnya, pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti samseng jalanan yang boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain dan akan meneruskan tindakan penguatkuasaan secara berterusan.

Beliau turut menyeru orang awam supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya serta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan samseng jalanan kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan awam terus terpelihara.