LABUAN: Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) berjaya mengutip hasil melebihi RM40 juta sepanjang tahun 2025, meningkat berbanding lebih RM39 juta pada tahun sebelumnya.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, JPDS kini diletakkan di bawah kementeriannya susulan penyelarasan portfolio pengangkutan dan menjadi antara penyumbang penting hasil Kerajaan Negeri.
“JPDS bertanggungjawab mengawal selia lalu lintas air di kawasan had pelabuhan, dermaga, sungai, pantai serta kawasan pasang surut.
“Selain itu, jabatan ini menyediakan dan menyelenggara kemudahan seperti Dermaga Kerajaan, Jeti Awam, Jeti Tukar Barangan serta Terminal Pendaratan Penumpang,” katanya selepas mengadakan lawatan ke JPDS Labuan, di sini pada Sabtu.
Beliau turut dimaklumkan mengenai peranan, perkembangan semasa dan perancangan JPDS di seluruh Sabah oleh Pengarah JPDS, Maswandie Maimon, selain menghargai usaha berterusan jabatan itu dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan dan pemegang taruh.
Sementara itu, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), JPDS dijadual melaksanakan 23 projek pada 2026 dengan peruntukan RM4.75 juta, termasuk pembinaan suar dan muar, jeti terapung, bot malim, pengukuhan aset penguatkuasaan, menara pemantauan trafik perkapalan, terminal feri, jeti tukar barangan serta pembinaan Kompleks Ibu Pejabat JPDS di Kimanis.
Dalam lawatan sama, Ewon turut meninjau perusahaan Pandikar Food yang berjaya menembusi pasaran Brunei serta outlet QCC Baked yang kini berkembang sebagai perniagaan francais di Sabah, Labuan dan Semenanjung Malaysia.






