Ketua Menteri Adakan Perbincangan Isu Semasa Bersama Ahli Parlimen Sabah

Ketua Menteri Adakan Perbincangan Isu Semasa Bersama Ahli Parlimen Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, mengadakan pertemuan bersama beberapa Ahli Parlimen (MP) Sabah bagi membincangkan isu-isu semasa yang memberi kesan kepada rakyat di peringkat akar umbi, dalam satu pertemuan di Sri Gaya, pada malam Khamis.

Menurut Hajiji, pertemuan itu memberi ruang kepada beliau untuk mendengar pandangan, maklum balas serta cadangan daripada wakil rakyat berhubung perkara di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

“Saya telah mengambil maklum pandangan, maklum balas serta cadangan mereka mengenai isu-isu yang memberi kesan langsung kepada rakyat di peringkat akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, perbincangan turut merangkumi hal-hal pentadbiran yang melibatkan pihak berkuasa daerah dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Antara Ahli Parlimen yang hadir ialah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar) yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Persekutuan; Datuk Shahelmey Yahya (Putatan); Datuk Matbali Musah (Sipitang); Lo Su Fui (Tawau) yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Riduan Rubin (Tenom).

Hajiji menegaskan, kerjasama berterusan antara Kerajaan Negeri dan Ahli Parlimen Sabah penting bagi memastikan isu rakyat dapat ditangani secara menyeluruh dan bersepadu demi kesejahteraan negeri.