Mangsa Rafting Lemas di Sepulut, Nabawan Ditemui Meninggal Dunia

Mangsa Rafting Lemas di Sepulut, Nabawan Ditemui Meninggal Dunia

0
SHARE

NABAWAN: Seorang lelaki maut selepas terjatuh ke sungai ketika melakukan aktiviti rafting di Kabulongou Earth, Sepulut, di sini, pada Jumaat.

Dalam kejadian itu, mangsa dikenali sebagai Ramli Mayakin, berusia lingkungan 40-an, ditemui orang awam di tepi sungai dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dikeluarkan oleh pasukan bomba.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nabawan, PBT II Rudy Mekii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.40 tengah hari sebelum mengerahkan 12 anggota ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 53 kilometer dari balai.

“Pasukan bomba berdepan kesukaran untuk ke lokasi berikutan laluan sempit dan jalan tidak berturap. Mangsa bagaimanapun telah ditemui oleh orang awam sebelum pasukan kami tiba dan bertindak mengeluarkannya dari sungai,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Operasi yang turut disertai PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan KKM itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.30 petang setelah keadaan disahkan selamat dan terkawal.