Seorang Maut, Seorang Cedera Parah, Vigo Terbabas Jatuh ke Dalam Lubang Pembentungan...

Seorang Maut, Seorang Cedera Parah, Vigo Terbabas Jatuh ke Dalam Lubang Pembentungan Sedalam 7 Meter

0
SHARE

LAHAD DATU: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi mengalami kecederaan patah tangan selepas sebuah kenderaan jenis Toyota Vigo terbabas sendiri sebelum terjatuh ke dalam lubang pembentungan sedalam kira-kira tujuh meter di Jalan Pantai menghala ke bandar Lahad Datu, pagi hari ini.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, PKPgB Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.04 pagi dan jentera tiba di lokasi empat minit kemudian.

“Setibanya di lokasi, didapati sebuah Toyota Vigo terbabas melanggar penghadang jalan sebelum terjatuh ke dalam lubang pembentungan (jacking pit) sedalam kira-kira tujuh meter dan selebar 6.5 meter yang masih dalam pembinaan,” katanya.

Beliau berkata, dua mangsa lelaki berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan tali dan pengusung (stretcher).

Menurutnya, mangsa pertama, Muhammad Almadi bin Hassan, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala mangsa kedua, Wilyamil bin Ahajul, 34 tahun, mengalami kecederaan patah tangan.

“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut, manakala mangsa yang cedera dibawa ke hospital menaiki ambulans KKM untuk rawatan,” katanya.

Tambah beliau, pasukan bomba turut memasang sawar keselamatan di lokasi kejadian bagi mengelakkan sebarang risiko bahaya lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.07 pagi. Operasi menyelamat melibatkan seramai 14 anggota BBP Lahad Datu dengan kerjasama PDRM dan KKM.