KOTA KINABALU: Sabah Credit Corporation (SCC) terus mengukuhkan peranannya sebagai tonggak pemerkasaan kewangan di Sabah, khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), usahawan serta komuniti setempat, susulan pencapaian cemerlang yang direkodkan sepanjang tahun 2025.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Masidi Manjun berkata, prestasi membanggakan SCC membuktikan komitmen berterusan agensi itu dalam meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat melalui penyediaan perkhidmatan kewangan yang mudah diakses, inklusif dan berkualiti.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri, Kementerian Kewangan Sabah, Mohd Ishak Ayub pada Majlis Makan Malam Penghargaan Rakan Niaga SCC yang berlangsung di Hyatt Regency Kota Kinabalu, malam tadi.
Menurutnya, selama beberapa dekad SCC telah menjadi pemacu utama dalam menyediakan akses pembiayaan kepada golongan usahawan dan komuniti yang memerlukan sokongan kewangan, sekali gus memperkukuh pembangunan ekonomi negeri.
“Melalui penambahbaikan berterusan terhadap produk, perkhidmatan dan tadbir urus, SCC berjaya mewujudkan peluang perniagaan yang lebih luas, memperkukuh pembangunan komuniti serta meningkatkan daya tahan kewangan rakyat Sabah,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pencapaian SCC pada 2025 telah mencatat satu lagi rekod baharu, mengatasi prestasi tahun-tahun sebelumnya, seperti yang dibentangkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SCC, George Taitim Tulas.
Masidi berkata kejayaan tersebut mencerminkan kepentingan kerjasama strategik antara institusi awam, sektor swasta dan agensi kerajaan dalam merealisasikan matlamat pembangunan negeri.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan agensi kerajaan untuk memperkukuh kerjasama dengan SCC, khususnya dalam mengintegrasikan penyelesaian kewangan ke dalam pelaksanaan program pembangunan dan inisiatif sosioekonomi.
“Kerjasama yang lebih erat akan membolehkan kita memanfaatkan sumber secara optimum, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta membina ekosistem kewangan yang lebih mampan dan berdaya tahan untuk Sabah,” katanya.
Beliau turut menyeru organisasi lain agar menjadikan SCC sebagai penanda aras kecemerlangan institusi, yang berteraskan pengurusan kewangan berhemat, kepimpinan mantap, tadbir urus baik serta komitmen tinggi terhadap pembangunan komuniti.
Majlis berkenaan turut diadakan bersempena sambutan Tahun Baharu Cina sebagai penghargaan kepada rakan-rakan niaga yang terus menyokong pertumbuhan dan kejayaan SCC.






