Israel Lancar Serangan ke Atas Iran, Ketegangan Asia Barat Kembali Memuncak

Israel Lancar Serangan ke Atas Iran, Ketegangan Asia Barat Kembali Memuncak

0
SHARE

TEL AVIV/TEHRAN: Israel mengumumkan telah melancarkan satu serangan prapertahanan terhadap Iran pada Sabtu, sekali gus mencetuskan episod baharu ketegangan ketenteraan di Asia Barat.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mendakwa tindakan itu diambil bagi “menghapuskan ancaman terhadap Israel”, susulan kebimbangan berterusan terhadap program nuklear dan pembangunan peluru berpandu Iran yang didakwa mampu menggugat keselamatan serantau.

Media Iran melaporkan beberapa letupan kedengaran di Tehran pada hari sama, dengan beberapa kawasan di ibu negara itu dilaporkan terjejas.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Iran belum mengeluarkan penjelasan terperinci berhubung insiden tersebut.

Serangan terbaharu ini berlaku selepas kedua-dua negara terlibat dalam perang udara selama 12 hari pada Jun lalu.

Ketika itu, Israel memberi amaran bahawa tindakan ketenteraan akan diteruskan sekiranya Iran terus memperkukuh agenda nuklear dan peluru berpandunya.

Amerika Syarikat dan Iran sebelum ini kembali ke meja rundingan pada Februari bagi mencari penyelesaian diplomatik terhadap pertikaian nuklear yang berlarutan sejak beberapa dekad.

Namun, Israel menegaskan sebarang perjanjian baharu mesti melibatkan pembongkaran infrastruktur nuklear Iran.

Iran pula menyatakan kesediaan untuk membincangkan langkah mengehadkan program nuklearnya sebagai pertukaran kepada pemansuhan sekatan antarabangsa, namun menolak syarat yang mengaitkan isu nuklear dengan program peluru berpandu negara itu.

Tehran turut memberi amaran akan mempertahankan diri daripada sebarang serangan dan tidak teragak-agak bertindak balas terhadap negara jiran yang menempatkan pangkalan tentera Amerika Syarikat sekiranya Washington terlibat secara langsung.

Dalam insiden pada Jun lalu, Amerika Syarikat dilaporkan menyertai kempen ketenteraan Israel yang menyasarkan kemudahan nuklear Iran, disifatkan sebagai penglibatan langsung paling signifikan Washington terhadap republik itu.

Iran kemudian membalas dengan melancarkan peluru berpandu ke pangkalan udara Al Udeid di Qatar.

Kuasa-kuasa Barat sebelum ini menzahirkan kebimbangan bahawa program peluru berpandu Iran berpotensi menggugat kestabilan serantau dan boleh digunakan sebagai platform penghantaran senjata nuklear, dakwaan yang dinafikan oleh Tehran.

Perkembangan terbaharu ini menimbulkan kebimbangan terhadap risiko eskalasi konflik yang lebih meluas di rantau berkenaan, ketika usaha diplomatik bagi menyelesaikan isu nuklear Iran masih belum menunjukkan perkembangan positif.