KOTA KINABALU: Malaysia akan menjadi lebih kukuh apabila Sabah dan Sarawak terus dihormati sebagai rakan kongsi dalam Persekutuan, kata Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar.
Beliau mengambil maklum kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, yang menegaskan bahawa tidak wujud sebarang “Blok Borneo” dan bahawa Sabah serta Sarawak kekal sebagai sebahagian daripada Malaysia.
“Saya bersetuju bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang bersatu dan harus terus diperkukuhkan melalui kerjasama erat antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau menekankan bahawa isu perbincangan mengenai “Blok Borneo” timbul daripada rasa tidak puas hati sebahagian rakyat terhadap jurang pembangunan antara negeri-negeri di Semenanjung dan Sabah serta Sarawak.
Menurut beliau, walaupun kedua-dua negeri kaya dengan sumber asli seperti minyak, gas dan hasil bumi lain, masih terdapat kawasan yang menghadapi cabaran asas seperti bekalan air bersih, elektrik, infrastruktur jalan raya serta peluang ekonomi yang terhad.
Zulkarnain menegaskan bahawa rakyat Sabah dan Sarawak tidak menginginkan pemisahan daripada Malaysia, sebaliknya mahukan pembangunan lebih seimbang, pengagihan hasil yang adil, dan pelaksanaan yang menyeluruh terhadap semangat Malaysia Agreement 1963 (MA63), khususnya hak Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri termasuk dari sumber minyak dan gas.
“Malaysia akan terus kukuh sekiranya semua pihak – kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pimpinan politik – dapat bekerjasama secara matang dan konstruktif untuk memastikan pembangunan Sabah dan Sarawak bergerak seiring dengan negeri-negeri lain di negara ini.
“Perpaduan negara tidak akan terjejas apabila suara rakyat Sabah dan Sarawak didengar,” tambah beliau.
Zulkarnain menegaskan bahawa negara akan menjadi lebih kuat apabila setiap wilayah merasakan mereka dihormati, dihargai dan mendapat manfaat pembangunan secara adil dan seimbang dalam Persekutuan.
Terdahulu Hajiji dilaporkan menyangkal wujudnya Blok Borneo seperti yang didakwa sesetengah pihak baru-baru ini.
Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan bahawa Sabah dan Sarawak kekal sebagai sebahagian daripada Malaysia dan tidak pernah wujud sebarang blok berasingan sebagaimana didakwa.
“Blok Borneo ini tidak ada. Kita ini dalam negara Malaysia, satu negara. Tidak ada Blok Borneo, Sabah, Sarawak, Semenanjung, tidak ada begitu.
“Jadi, saya ingin nyatakan bahawa kita ini dalam satu negara dan perlu ada kerjasama semua pihak negeri dan Persekutuan, negeri-negeri jiran untuk mencemerlangkan lagi negara kita Malaysia ini,” katanya.






