SANDAKAN: Seorang Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) bagi kawasan DUN Elopura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Khas Rasuah di sini hari ini atas dua pertuduhan menggunakan jawatan bagi mendapatkan manfaat untuk saudara mara.
Tertuduh, Herman Idris, 52, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Elsie Primus selepas pertuduhan dibacakan oleh pihak pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, Herman didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pegawai badan awam dengan mencadangkan dua saudara terdekatnya sebagai penerima bantuan Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) bernilai RM70,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 26 September 2022 kira-kira jam 2.30 petang semasa Mesyuarat Focus Group Daerah Sandakan di Dewan Persidangan Libaran, Wisma Perbandaran Majlis Perbandaran Sandakan.
Cadangan tersebut didakwa membabitkan Amir Ismail dan Siti Nor Amira Amir yang kemudiannya dipilih sebagai penerima bantuan rumah di bawah program berkenaan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan deposit RM6,000 serta mengarahkan beliau melapor diri di pejabat SPRM Sandakan setiap dua bulan selain menyerahkan pasport antarabangsa.
Mahkamah menetapkan 1 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.






