LAHAD DATU: Polis menahan seorang lelaki warga asing serta merampas dadah disyaki jenis syabu seberat 51.73 gram dalam satu operasi Op Tapis yang dijalankan di Kampung Puyut, Jalan Pantai, di sini, pada malam Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, suspek berusia 22 tahun itu ditahan kira-kira jam 10.30 malam oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) ketika operasi dijalankan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan cuba bertindak agresif dan melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis, namun berjaya diberkas selepas tindakan pantas anggota bertugas.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek menemui satu beg silang berwarna hitam yang mengandungi dua paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat keseluruhan 51.73 gram,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, pemeriksaan turut menemui sembilan gulung kertas timah (foil) yang dipercayai digunakan bagi aktiviti penyalahgunaan dadah.
Tambahnya, suspek yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk siasatan lanjut.
“Ujian saringan awal polis mendapati suspek positif dadah,” katanya.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dzulbaharin berkata, kejayaan operasi itu mencerminkan komitmen berterusan pihak polis dalam memerangi jenayah dadah di daerah Lahad Datu.
“Polis akan terus mempergiat operasi dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan pengedaran serta penyalahgunaan dadah,” katanya.






