AMPANG: Kerajaan akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2026 bermula 14 hingga 28 Mac ini melibatkan kawalan harga maksimum ke atas 27 jenis barangan keperluan utama bagi memastikan pengguna dapat menikmati harga berpatutan sepanjang musim perayaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata tempoh pelaksanaan skim itu adalah selama 15 hari, iaitu tujuh hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan tujuh hari selepasnya.
“Tempoh pelaksanaan SHMMP Hari Raya Aidilfitri 2026 kali ini adalah bersesuaian dengan keadaan semasa, iaitu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga. Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Menurut beliau, sebanyak 27 jenis barangan dikenal pasti untuk dikawal di bawah skim tersebut tahun ini berbanding 26 barangan semasa pelaksanaannya pada tahun 2025.
Antara barangan yang terlibat dalam skim itu termasuk bawang kuning besar, bawang merah besar, bawang merah kecil India, bawang putih dari China, cili kering keriting, cili merah, daging kerbau import dari India, daging lembu import, daging lembu tempatan, halia tua import, ikan aya atau tongkol, ikan kembung termasuk ikan mabung, ikan selayang, kacang dal dari Australia, kacang panjang, kacang tanah, kelapa biji, kelapa parut, kepak ayam, kubis bulat import, lobak merah dari China, santan kelapa, sawi hijau, timun, tomato serta ubi kentang dari China.
Beberapa barangan turut dikenakan kawalan mengikut kawasan tertentu. Antaranya daging kerbau import yang dikawal di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sahaja; daging lembu import di Sarawak sahaja; serta daging lembu tempatan yang dikawal di Semenanjung Malaysia sahaja.

Bagi Semenanjung Malaysia, sebanyak 13 barangan mencatatkan penurunan harga maksimum berbanding tahun lalu iaitu daging kerbau import (India), sawi hijau, lobak merah (China), bawang kuning besar, bawang merah besar, bawang merah kecil India, bawang putih (China), ubi kentang (China), halia tua import, cili kering keriting, kelapa biji, kelapa parut dan santan kelapa.
Sementara itu, harga maksimum bagi sembilan barangan dikekalkan iaitu daging lembu tempatan, ikan aya atau tongkol, ikan kembung termasuk ikan mabung, ikan selayang, kubis bulat import, timun, tomato, kacang panjang dan kacang tanah. Hanya satu barangan mengalami kenaikan harga maksimum iaitu cili merah.
Di Sarawak pula, sebanyak 11 barangan mencatatkan penurunan harga maksimum berbanding tahun lepas, manakala tujuh barangan dikekalkan. Tiga barangan yang mengalami kenaikan harga maksimum ialah kelapa biji, kelapa parut dan santan.
Bagi Sabah, sebanyak 12 barangan mengalami penurunan harga maksimum termasuk daging kerbau import (India), tomato, cili merah, kacang panjang, bawang kuning besar, bawang merah besar, bawang merah kecil India, bawang putih (China), ubi kentang (China), halia tua import, cili kering keriting dan santan kelapa. Sembilan barangan pula kekal pada paras harga sama dan tiada barangan mengalami kenaikan harga maksimum.
Di Wilayah Persekutuan Labuan pula, 11 barangan mencatatkan penurunan harga maksimum antaranya daging kerbau import (India), tomato, kacang panjang, bawang kuning besar, bawang merah besar, bawang merah kecil India, bawang putih (China), ubi kentang (China), halia tua import, cili kering keriting dan santan kelapa. Lapan barangan mengekalkan harga maksimum manakala kacang tanah merupakan satu-satunya barangan yang mengalami kenaikan harga maksimum.
Menurut Armizan, penentuan senarai barangan dan paras harga maksimum dibuat berdasarkan analisis rantaian bekalan termasuk kos import, harga ladang, harga pemborong serta trend harga di peringkat peruncit.
“Selain faktor permintaan dan penawaran, kos semasa, cuaca serta kadar upah, penentuan senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan turut mengambil kira pandangan rakan strategik seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi kerajaan serta pemain industri,” katanya.
Beliau berkata SHMMP Aidilfitri 2026 akan dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang membolehkan kerajaan menetapkan harga maksimum bagi barangan tertentu.
“Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya,” katanya.
Tambah beliau, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim tersebut.
“Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi individu, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000,” katanya.
Selain pelaksanaan skim itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup turut melaksanakan beberapa program khas sempena Aidilfitri termasuk Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) Aidilfitri serta Program Servis Ihsan MADANI@Petronas AutoExpert (SIM@PAX).
Jumlah barangan bersubsidi di bawah PJRM Aidilfitri juga akan ditambah daripada 40 kepada sekurang-kurangnya 50 jenis barangan seperti diumumkan Perdana Menteri pada 9 Mac lalu.
Bagi program SIM@PAX pula, orang ramai boleh menikmati diskaun servis kenderaan termasuk produk minyak pelincir antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran semasa di 124 premis bengkel seluruh negara yang terlibat dari 10 hingga 17 Mac serta 23 hingga 31 Mac 2026.






