KUDAT, SABAH – Cubaan seludup keluar 51 guni berisi daging penyu kering seberat 765 kilogram dianggarkan membabitkan lebih kurang 1,000 ekor penyu dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bertindak hasil maklumat perisikan, sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan OP PLUTO TIMUR / OP TIRIS digerak ke kawasan pesisir pantai Kampung Tajau Laut bagi memeriksa sebuah bot yang mencurigakan dalam kejadian sekitar pukul 10.27 malam.
“Kawasan cetek di kawasan berkenaan telah menyukarkan bot ronda untuk menghampiri bot terbabit untuk membuat pemeriksaan.
“Menyedari kehadiran penguat kuasa Maritim Malaysia, suspek bertindak meloloskan diri di kawasan cetek berhampiran.
“Aset dari darat telah diatur gerak ke lokasi untuk membuat pemeriksaan di kawasan terbabit kerana bot ronda tidak dapat merapat di kawasan pantai,” katanya.
Maurice berkata hasil pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan suspek turu menemui 19 guni berisi balat.
“Nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan bernilai lebih RM500,000 dan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat dibawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 (cubaan menyeludup daging haiwan spesies terancam),” katanya dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan.






