
KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah (JIM Sabah) mengusir seramai 417 tahanan warganegara Filipina melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City pada Selasa.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terbabit merupakan siri ke-9 untuk kategori usir melalui laut bagi tahun 2024.
“Pecahan tahanan yang dihantar pulang merupakan 349 orang lelaki, 41 orang perempuan, tiga orang kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dan 24 orang kanak-kanak berumur 23 bulan ke bawah.
“Purata umur bagi pemindahan kali ini adalah antara sebulan sehingga 66 tahun.
“Kanak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu bapa dan penjaga masing-masing melalui laut dengan menggunakan pengangkutan Vessel MV Antonia 1.
“PATI yang terlibat pada kali ini adalah tahanan warganegara Filipina dari Depot Imigresen Sandakan sahaja,” jelasnya dalam sebuah kenyataan.
Seramai 2,437 orang tahanan warganegara Filipina telah dipindahkan dalam tahun 2024 ke negara asal melibatkan pengangkutan laut dan udara.
Kesemua PATI yang dipindahkan telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.





