Tun Juhar Lancar TAQ Bahasa Dusun

Tun Juhar Lancar TAQ Bahasa Dusun

0
SHARE
Juhar
Tun Juhar (tiga kanan) meneliti TAQ Bahasa Dusun ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menyempurnakan pelancaran Terjemahan Al-Quran (TAQ) Bahasa Dusun pertama dunia.

Pengerusi Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Muslim Semalaysia (KDMRS), Nicholas Sylvester berkata proses terjemahan tersebut mengambil masa empat tahun bermula 2019 hingga 2020 sehinggalah selesai dicetak pada 2022.

“Projek ini menampilkan pakar bahasa yang mahir dalam bahasa etnik dan bahasa Arab bagi menterjemahkan ayat-ayat Al-Quran.

“Pasukan penterjemah diketuai Dr. Joseph@Yusof Gimbad bersama pasukannya Naim Majin, Sulaimin Musinin dan Esibi Lakui adalah anak jati Dusun yang menggunakan bahasa Dusun dalam perbualan harian akan meneruskan dengan projek tafsir Al Quran Ibnu Kathir pula.

“Mereka juga sekaligus akan membantu menjadi pemudah cara kepada projek terjemahan empat bahasa etnik Kadazan, Murut, Rungus dan Sungai,” katanya semasa Majlis Pelancaran TAQ Dusun dan Penterjemahan Empat Bahasa Etnik.

Majlis pelancaran tersebut diserikan dengan kehadiran isteri Tun Juhar, Toh Puan Norlidah R.M Jasni.

Nicholas juga memaklumkan pihaknya memainkan peranan untuk menghasilkan terjemahan Al-Quran di dalam bahasa ibunda etnik supaya Al-Quran menjadi panduan kepada semua umat Islam di dalam suku kaum etnik KDMRS Muslim di Sabah.

“Sudah tentu penting untuk kita memahami maksud ayat-ayat Al-Quran yang di dalamnya terkandung intipati, pengajaran dan ilmu yang penting untuk umat Islam mencapai kejayaan.

“Memahami betapa besarnya peranan Al-Quran dalam hidup seorang Muslim, KDMRS Muslim mengambil inisiatif untuk terus mengusahakan terjemahan Al-Quran di dalam bahasa etnik yang lain iaitu Kadazan, Murut, Rungus dan Sungai.

“KDMRS Muslim tidak akan berhenti hanya setakat mengusahakan terjemahan Al-Quran, tetapi juga akan terus mengusahakan terjemahan dalam tafsir, hadis, sirah dan karya-karya agung Islam yang lain untuk memantapkan tamadun Islam di kalangan etnik Sabah,” ujarnya.

Sebanyak 10,000 naskah pertama termasuk 1,000 naskah di Semenanjung Malaysia tersedia untuk diagihkan kepada Masyarakat Dusun dan pelbagai pihak rakan strategik KDMRS Muslim seperti jabatan kerajaan, agensi, badan bukan kerajaan di Sabah dan seluruh negara.

Turut hadir, Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam dan Yang Dipertua USIA Datuk Sapawi Ahmad. — JABATAN PENERANGAN SABAH