KUALA LUMPUR: Rangkaian pawagam tempatan, MBO Cinemas mengumumkan penamatan operasi secara kekal selepas bertahun-tahun beroperasi dalam industri perfileman negara.
Pengumuman itu dibuat menerusi satu kenyataan rasmi syarikat itu hari ini yang menyatakan keputusan tersebut dibuat dengan perasaan berat hati selepas sekian lama menjadi sebahagian daripada pengalaman hiburan penonton.
“MBO Cinemas akan menghentikan operasi secara kekal. Persembahan telah berakhir,” menurut kenyataan syarikat itu.
Menurut MBO Cinemas, pihaknya amat menghargai sokongan penonton yang selama ini memenuhi pawagam serta menjadikan pengalaman menonton filem sebagai kenangan bermakna.
“Adalah satu penghormatan besar buat kami untuk berkhidmat kepada anda, para penonton, dan menjadi sebahagian daripada pengalaman sinematik anda.
“Segala sorakan dan gelak tawa di dalam dewan yang penuh sehinggalah detik-detik senyap ketika babak menyentuh hati amat bermakna buat kami,” menurut kenyataan tersebut.
Syarikat itu turut merakamkan penghargaan kepada pelanggan setia yang menyokong operasi pawagam berkenaan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Daripada kami di MBO Cinemas, terima kasih kerana memenuhi tempat duduk kami dan juga hati kami,” katanya.
Sehubungan itu, pelanggan yang mempunyai urusan berkaitan bayaran balik boleh menghubungi pihak syarikat melalui e-mel di customercare@mbocinemas.com.
Bagi sebarang pertanyaan lain, orang ramai boleh menghubungi PKF Malaysia melalui e-mel pkfcec@pkfmalaysia.com atau talian 03-6203 1888 untuk maklumat lanjut.






