Dua Cedera Dalam Kemalangan Dua Kenderaan di Hadapan CityMall

Dua Cedera Dalam Kemalangan Dua Kenderaan di Hadapan CityMall

0
SHARE

KOTA KINABALU: Dua lelaki cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Lintas, berhampiran CityMall, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, kemalangan melibatkan sebuah Proton Exora dan Proton Saga yang mengakibatkan tiga individu terlibat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.02 pagi sebelum sepasukan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 5.10 pagi, didapati semua mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, dua mangsa masing-masing lelaki berusia 21 tahun dan 61 tahun mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Seorang lagi mangsa lelaki berusia 66 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata pasukan bomba kemudian menjalankan kerja-kerja pembersihan serpihan kemalangan di jalan raya menggunakan satu aliran salur bantu mula (hose reel) bagi memastikan keadaan laluan kembali selamat.

“Operasi kemudian ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.25 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian,” katanya.

Operasi tersebut diketuai Pegawai Bomba Kanan I Mohd Faizal Alias selaku Komander Operasi dengan kekuatan tujuh anggota dari BBP Lintas serta sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT).

Turut berada di lokasi kejadian ialah pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).