KOTA KINABALU: Seramai 30 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maktab Sabah menerima sumbangan membeli baju raya menerusi program anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Maktab Sabah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Yang Dipertua PIBG Maktab Sabah, Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, program tahunan itu bertujuan membantu pelajar khususnya daripada golongan asnaf agar dapat menyambut Syawal dengan penuh kegembiraan seperti rakan-rakan lain.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan merupakan antara usaha PIBG dalam menyantuni pelajar yang memerlukan di samping memastikan mereka dapat meraikan Aidilfitri dengan pakaian baharu.
“Setiap tahun PIBG Maktab Sabah akan menganjurkan program membeli baju raya khususnya kepada pelajar asnaf. Ini adalah inisiatif PIBG bagi memastikan anak-anak Maktab Sabah dapat memakai pakaian baharu ketika meraikan Hari Raya nanti,” katanya ketika ditemui media pada program berkenaan di sini, hari ini.
Menurutnya, pemilihan pelajar yang menerima sumbangan dibuat berdasarkan data yang disediakan pihak sekolah, termasuk pelajar yang datang dari pelbagai daerah dan tinggal di asrama.
“Hari ini seramai 30 pelajar dibawa menyertai program ini, termasuk pelajar asrama yang dikenal pasti layak menerima bantuan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata PIBG bersama pihak sekolah turut merancang beberapa program lain sepanjang Ramadan bagi memeriahkan sambutan bulan mulia itu.

Antaranya termasuk program mengimarahkan surau serta penyediaan bubur lambuk yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini.
“Setiap tahun PIBG bersama pihak sekolah akan menganjurkan beberapa program bagi menghidupkan Ramadan serta persiapan menyambut Aidilfitri,” katanya.
Mohammad Arif berkata pihaknya berharap program tersebut dapat membawa kegembiraan kepada pelajar selain mengeratkan hubungan antara PIBG, pihak sekolah dan pelajar.
“Harapan kami adalah untuk melihat pelajar-pelajar Maktab Sabah diraikan dengan penuh kegembiraan menjelang Syawal, di samping mengeratkan hubungan antara PIBG dengan pelajar serta menyantuni mereka yang memerlukan bantuan,” katanya.






