Jururawat Ditemui Tertiarap Tepi Jalan, Dipercayai Ditumbuk Dan Dipukul

Jururawat Ditemui Tertiarap Tepi Jalan, Dipercayai Ditumbuk Dan Dipukul

0
SHARE

KUALA PILAH: Jururawat yang ditemukan tertiarap dan tidak sedarkan diri di tepi jalan simpang tiga Dangi dekat Johol, malam kelmarin dipercayai ditumbuk dan dipukul oleh seorang lelaki.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kualai Pilah, Deputi Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, pihaknya kini giat memburu suspek lelaki tersebut, lapor Kosmo.

“Hasil siasatan lanjut ke atas mangsa yang berusia 30-an mendapati mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja dari arah Hutan Percha, Melaka menuju ke pekan Kuala Pilah,” katanya kepada media, di sini, hari ini.

Menurut beliau, sebaik tiba di persimpangan Dangi, mangsa mengatakan telah dihimpit oleh sebuah kenderaan membuatkan mangsa terpaksa menghentikan kenderaan.

“Suspek dikatakan telah membuka pintu kereta mangsa, menarik mangsa keluar dan kemudiannya menumbuk mangsa di bahagian muka beberapa kali. Mangsa turut menyatakan telah dipukul oleh objek tumpul di bahagian belakang kepala.

“Siasatan juga mendapati kejadian yang berlaku bukanlah kejadian rompak sebagaimana yang ditularkan memandangkan tiada barang-barang berharga milik mangsa yang hilang,” katanya.

Jelas beliau lagi, pegawai perubatan mengesahkan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian bahu kanan dan bahagian kepala.

Mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan tiada sebarang kesan kecederaan patah atau parah di mana-mana bahagian anggota badan.

“Polis kini mengesan suspek, manakala motif dan punca kejadian masih sedang dikenal pasti. Kes disiasat di bawah seksyen 324 kanun keseksaan,” katanya.

Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian berkenaan.