TENOM, SABAH – Cara masyarakat Sabah yang berbilang kaum dan kepercayaan menjalani kehidupan harian boleh dijadikan contoh terbaik aspirasi gagasan 1Malaysia, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Seri Radin Malleh.
Sebagai contoh katanya, orang bukan beragama Islam yang hadir bersama penganut Islam dengan suasana harmoni ketika berbuka puasa merupakan fenomena biasa yang boleh disaksikan di seluruh pelosok negeri ini.
“Realitinya semangat saling hormat-menghormati dan kasih sayang ini telah menjadi budaya antara semua kaum berbilang agama…ini yang sangat unik dan menarik di Sabah, sebagaimana yang anda lihat pada hari ini,” katanya kepada Bernama pada Majlis Iftar Semarak Ramadan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah bersama Pemimpin Daerah Tenom 2017 di sini semalam.
Radin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Melalap mahu supaya semangat perpaduan antara kaum terus dipelihara bagi memastikan keamanan negara yang dikecapi kini terus dipertahankan.
Menurutnya, perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini telah wujud sejak sekian lama terutama dalam kalangan masyarakat kampung dan suasana itu kini sedang diperkukuhkan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan kepercayaan di bandar.
Radin yang juga Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) yakin rakyat di negara ini akan terus menikmati kehidupan yang harmoni tanpa tekanan sekiranya budaya saling menerima dan menghormati perbezaan itu dapat dikekalkan.
– Bernama