KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Kerajaan Negeri Sabah untuk membantah permohonan penangguhan pelaksanaan Perintah Mahkamah Tinggi berkaitan tuntutan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan daripada negeri ini.
Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim berkata, langkah kerajaan negeri mempertahankan hak Sabah itu bukan sekadar isu politik, sebaliknya menyentuh soal keadilan serta penghormatan terhadap semangat Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, sebagai generasi muda yang bakal mewarisi masa depan negeri, Pemuda Gagasan Rakyat melihat usaha mempertahankan hak Sabah sebagai kepentingan jangka panjang rakyat negeri ini.
“Sebagai generasi muda yang akan mewarisi masa depan negeri ini, kami berpandangan bahawa usaha mempertahankan hak Sabah bukanlah soal politik semata-mata, tetapi soal keadilan dan penghormatan terhadap semangat Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Azrul berkata kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, telah menunjukkan komitmen yang jelas dan konsisten dalam memastikan proses rundingan serta libat urus dengan Kerajaan Persekutuan dilaksanakan secara profesional, telus dan berlandaskan prinsip undang-undang.
Pada masa sama, katanya kerajaan negeri turut menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi perlu dihormati dan dilaksanakan dalam tempoh yang telah ditetapkan.
Menurut beliau, pendekatan matang dan berprinsip yang diambil kerajaan negeri wajar mendapat sokongan semua pihak tanpa mengira latar belakang politik kerana perkara itu melibatkan kepentingan masa depan rakyat Sabah.
Azrul turut menegaskan bahawa sebarang usaha yang boleh melambatkan pelaksanaan keputusan mahkamah tidak akan membantu mempercepatkan penyelesaian isu tersebut.
“Sebaliknya, apa yang diperlukan ketika ini ialah komitmen bersama untuk mencapai penyelesaian yang adil, munasabah dan menghormati hak Sabah sebagaimana yang termaktub dalam kerangka Perlembagaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak di Sabah agar bersatu dalam mempertahankan hak negeri ini.
“Hak Sabah adalah hak rakyat Sabah dan perjuangan ini harus dilihat sebagai usaha bersama demi memastikan masa depan negeri ini terus terpelihara,” katanya.
Tambah beliau, Pemuda Gagasan Rakyat akan terus berdiri teguh bersama Kerajaan Negeri dalam mempertahankan hak serta kepentingan Sabah.






