KOTA KINABALU: Sebanyak 500 pek juadah berbuka puasa diagihkan oleh Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah kepada petugas barisan hadapan serta pengunjung di Hospital Queen Elizabeth I (HQE1) di sini, pada Khamis.
Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, inisiatif itu dilaksanakan sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan petugas kesihatan yang terus komited memberikan perkhidmatan kepada pesakit tanpa mengira masa, termasuk sepanjang bulan Ramadan.
Menurutnya, pengagihan juadah berkenaan juga bertujuan membantu pengunjung yang menziarahi ahli keluarga di hospital supaya dapat berbuka puasa dengan lebih mudah.
“Program ini sekurang-kurangnya dapat memberi keceriaan kepada petugas barisan hadapan dan pengunjung yang berada di hospital, selain meringankan sedikit beban mereka untuk mendapatkan hidangan berbuka puasa.
“Kita memilih Hospital Queen Elizabeth sebagai lokasi program pada tahun ini bagi menghargai pengorbanan kakitangan hospital yang sentiasa tekun memberikan rawatan terbaik kepada pesakit,” katanya.
Beliau berkata program itu juga diharap dapat merapatkan hubungan antara kementerian dan masyarakat selain menyemarakkan semangat berkongsi rezeki sepanjang Ramadan.
Tambahnya, selain program di hospital, kementerian turut melaksanakan pengagihan bubur lambuk di Kompleks Sukan Likas sebagai sebahagian daripada inisiatif Ramadan kementerian pada tahun ini.
Sementara itu, Pengarah Hospital Queen Elizabeth, Datuk Dr Abd Kahar Abd Asis, merakamkan penghargaan kepada kementerian berkenaan atas keprihatinan terhadap petugas hospital.
Beliau berkata, hospital tersebut beroperasi 24 jam setiap hari bagi memastikan perkhidmatan rawatan kepada pesakit berjalan lancar tanpa mengira hari biasa, cuti umum atau bulan puasa.
Menurutnya, HQE mempunyai kira-kira 4,000 kakitangan yang bertugas secara tiga syif, dengan antara 1,000 hingga 1,500 petugas berada dalam satu-satu syif.
“Setiap hari hospital ini menerima kira-kira 2,000 pesakit luar dan sekitar 700 pesakit dalam, tidak termasuk kira-kira 2,500 pengunjung yang datang melawat pesakit,” katanya.
Beliau turut memaklumkan hospital itu menyediakan kira-kira 1,500 petak parkir, namun jumlah tersebut masih tidak mencukupi berikutan jumlah kakitangan, pesakit dan pengunjung yang tinggi setiap hari.






