
KOTA KINABALU, SABAH – Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, Kota Kinabalu menjadi lokasi penutup Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) pada tahun ini.
Lebih 800 warga IPG Kampus Gaya turut memeriahkan majlis penutupan KMJG dengan pelbagai aktiviti yang dijalankan dalam program tersebut.
Pada majlis itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata konvoi KMJG menyatukan pelbagai agensi yang terlibat terutamanya badan kerajaan dan bukan kerajaan dalam mendalami semangat patriotisme sempena Bulan Kebangsaan.
“Program KMJG yang berakhir pada hari ini bermaksud kita ada 11 hari lagi untuk menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, saya sangat gembira kerana dijemput oleh Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah dalam merasmikan majlis penutupan ini.
“Saya melihat sambutan program ini sangat baik kerana penglibatan bukan hanya dari agensi kerajaan tetapi pihak swasta juga melibatkan diri dalam program KMJG ini.
“Macam mana untuk kita menunjukkan semangat patriotik adalah dengan membeli dan mengibarkan jalur gemilang di premis-premis, rumah dan pejabat yang merupakan salah satu inisiatif kerajaan melalui JaPen Sabah yang kita lakukan bagi masyarakat setempat,” katanya selepas merasmikan penutupan KMJG di Dewan IPG Kampus Gaya, pada Ahad.
Chan turut menyarankan agar agensi swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan untuk melakukan program kira detik (countdown) pada 31 Ogos 2023 tentang pentingnya tarikh tersebut.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Phoong Jin Zhe, Pembantu Menteri Kewangan II merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tan Lee Fatt, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor yang juga Ketua Konvoi KMJG, wakil Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Robert Lipon, wakili Ketua Polis Daerah, Supritendan Kalsom Idris dan Pengarah IPG Kampus Gaya, Dr Gerturude Jock. — JABATAN PENERANGAN SABAH