TUARAN: Seorang lelaki berusia 45 tahun dilaporkan hilang ketika membersihkan kebun di Kampung Paka, Kiulu, di sini, dan operasi mencari serta menyelamat (SAR) kini giat dijalankan bagi mengesan mangsa.
Mangsa dikenali sebagai Jantannius Poulus, yang dilaporkan hilang pada 10 Mac lalu ketika berada di kebun bersama rakannya.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, TPgB Kurong ak Beki berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 8.40 malam, 11 Mac sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 41 kilometer dari balai.
Menurutnya, mangsa kali terakhir dilihat sekitar jam 12.40 tengah hari ketika sedang berehat di sebuah pondok kebun sebelum disedari hilang apabila rakannya kembali ke lokasi berkenaan.
“Pengadu memaklumkan mangsa dilihat berehat di sebuah sulap di kebun berkenaan. Namun apabila beliau kembali semula ke pondok itu, mangsa didapati sudah tiada dan usaha mencari di sekitar kawasan kebun tidak menemui mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata pasukan bomba kemudian menjalankan operasi SAR di lokasi kebun yang terletak kira-kira empat kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB).
Operasi SAR hari pertama melibatkan enam anggota BBP Tuaran bersama Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.
“Operasi hari pertama ditangguhkan pada jam 10.50 malam sebelum disambung semula pada hari kedua.
“Pada hari kedua, operasi dimulakan pada jam 10.36 pagi selepas taklimat pembahagian sektor carian dan tumpuan diberikan di kawasan sepanjang sungai serta sekitar pondok lokasi mangsa dilaporkan hilang dengan bantuan Unit K9,” katanya.
Menurutnya, operasi hari kedua ditangguhkan pada jam 4.30 petang dan akan disambung semula pada hari berikutnya.
“Setakat ini mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR akan diteruskan sehingga mangsa berjaya dikesan,” katanya.
Operasi turut melibatkan penggunaan sebuah jentera EMRS dan sebuah kenderaan pacuan empat roda, selain bantuan anjing pengesan K9 dikenali sebagai Lexi.






