SHAH ALAM : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor memperkukuhkan kerjasama strategik bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menerusi pelaksanaan operasi khas di perairan Pelabuhan Klang selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Mac lalu.
Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, operasi tersebut melibatkan seramai 25 anggota penguat kuasa terdiri daripada 15 anggota KPDN Selangor dan 10 anggota Maritim Negeri Selangor.
Menurutnya, operasi itu turut menggerakkan beberapa aset laut termasuk dua bot Maritim Malaysia serta sebuah kapal Maritim Bagan Datuk bagi melaksanakan pemeriksaan di kawasan perairan sekitar pelabuhan.
“Operasi bersama ini memberi tumpuan kepada kapal-kapal dagang dari dalam dan luar negara yang menjalankan aktiviti perdagangan di pelabuhan utama seperti Northport dan Westport.
“Pada masa sama, pemeriksaan turut dijalankan di jeti barter trade serta jeti persendirian di sekitar Pelabuhan Klang yang menjalankan aktiviti perdagangan melibatkan barang kawalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, operasi berkenaan merupakan satu isyarat komitmen kolektif antara agensi penguat kuasa dalam memperkasakan tindakan terhadap aktiviti penyeludupan barang kawalan selain memastikan pengusaha bot nelayan, feri, kapal tangki dan kapal kargo mematuhi peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sepanjang tempoh operasi dijalankan, sebanyak 50 buah kapal dan bot pelbagai jenis diperiksa melibatkan kapal barter trade, bot kargo, bot nelayan tempatan serta tugboat.
Dalam masa sama, KPDN Selangor turut memperluaskan skop pemeriksaan dengan melaksanakan pematuhan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 ke atas alat timbang dan sukat yang digunakan bagi tujuan urus niaga di atas kapal.
Hanif berkata, langkah itu bertujuan memastikan setiap alat pengukuran yang digunakan dalam urusan perdagangan di laut telah ditentusahkan oleh pihak berwibawa.
“Antara kapal yang dikenal pasti menggunakan alat timbang dan sukat bagi tujuan transaksi termasuk kapal pembekal bahan api (bunker vessel), kapal tangki minyak serta mana-mana kapal yang menjalankan aktiviti pemindahan bahan api atau barangan dagangan di laut,” katanya.
Tambah beliau, penggunaan alat timbang atau sukat yang tidak ditentusahkan bagi tujuan perdagangan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM40,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sepanjang pemeriksaan dijalankan pihaknya turut memberikan advokasi serta amaran kepada pengendali kapal supaya memastikan setiap alat timbang dan sukat yang digunakan bagi tujuan perdagangan telah ditentusahkan serta masih dalam tempoh sah.
Menurutnya, KPDN Selangor akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan Maritim Negeri Selangor serta agensi penguat kuasa lain bagi memastikan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh demi kepentingan awam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan salah laku urus niaga di Selangor boleh menyalurkannya melalui WhatsApp di talian 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.






