Elak Berpuak, Wanita GRS Diseru Bersatu

Elak Berpuak, Wanita GRS Diseru Bersatu

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kepimpinan Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diingatkan supaya terus memperkukuh perpaduan dan mengelakkan sikap berpuak-puak yang boleh menjejaskan kekuatan organisasi.

Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun berkata, jentera Wanita perlu bergerak sebagai satu pasukan serta mengambil iktibar daripada pengalaman lalu bagi memastikan perpaduan dalam parti terus diperkukuh.

“GRS khususnya jentera Wanita perlu bergerak sebagai satu pasukan dan mengelakkan sikap berpuak-puak yang boleh membawa kepada perpecahan. Kita juga perlu mengambil iktibar daripada pengalaman lalu dan terus memperkukuh perpaduan dalam organisasi,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Wanita GRS di Hotel Howard Johnson, di sini, semalam.

Mesyuarat itu menghimpunkan kepimpinan Wanita daripada parti-parti komponen bagi membincangkan perkembangan organisasi serta strategi memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi.

Azizah turut menekankan kepentingan pemimpin wanita mengenal pasti kekuatan dan kelemahan organisasi, selain memperkukuh kemahiran komunikasi bagi menyampaikan dasar kerajaan serta maklumat bantuan kepada masyarakat dengan lebih berkesan.

Beliau juga menggesa kepimpinan Wanita supaya terus turun padang mendekati rakyat dan memanfaatkan program serta inisiatif kerajaan negeri bagi membantu masyarakat.

Selepas mesyuarat itu, pimpinan Wanita GRS turut menghadiri majlis berbuka puasa bersama Jawatankuasa Tertinggi Wanita GRS.