Op Pintas Selamatkan Lima Mangsa Pemerdagangan Manusia di Pantai Timur Sabah

Op Pintas Selamatkan Lima Mangsa Pemerdagangan Manusia di Pantai Timur Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah berjaya menyelamatkan lima mangsa pemerdagangan orang, termasuk seorang kanak-kanak, dalam Op Pintas Bil 2/2026 yang dijalankan di beberapa ladang di Kunak, Kinabatangan dan Beluran pada hujung minggu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata operasi itu dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah dengan kerjasama Cawangan D7 serta Bahagian Siasatan Jenayah daerah bagi membanteras aktiviti pemerdagangan orang dan kesalahan imigresen.

“Hasil risikan berkaitan eksploitasi pekerja ladang membawa kepada beberapa serbuan di kawasan ladang di daerah Kunak, Kinabatangan dan Beluran,” katanya dalam kenyataan.

Dalam operasi sama, seramai 16 individu ditahan termasuk penyelia ladang, pekerja warga asing tanpa dokumen sah serta individu yang dipercayai terlibat dalam pengurusan pekerja di ladang terbabit.

Menurut Jauteh, siasatan awal mendapati terdapat pekerja yang bekerja tanpa dokumen perjalanan sah selain wujud elemen eksploitasi seperti pasport dipegang majikan, gaji rendah dan keadaan tempat tinggal yang tidak kondusif.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 12 dan 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 serta beberapa peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Beliau berkata semua mangsa yang diselamatkan telah dibawa untuk pemeriksaan kesihatan dan proses perlindungan lanjut, manakala kesemua suspek akan dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman.