Penduduk Sambut Baik Pertandingan Cahaya Aidilfitri Tanjung Keramat

Penduduk Sambut Baik Pertandingan Cahaya Aidilfitri Tanjung Keramat

0
SHARE

PUTATAN: Pertandingan Cahaya Aidilfitri Tanjung Keramat yang julung kali diadakan mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat apabila berjaya menarik 45 penyertaan melibatkan tujuh kampung sekitar kawasan itu.

Ahli Parlimen Putatan, Shahelmey Yahya berkata, penganjuran program tersebut mencapai objektif yang ditetapkan hasil kerjasama Pejabat DUN dan UPPM Tanjung Keramat serta Pejabat Parlimen Putatan.

“Pada mulanya, kita hanya menyasarkan sekitar 30 penyertaan, namun sambutan amat menggalakkan sehingga mencecah 45 peserta.

Insya-Allah program ini akan diteruskan pada masa akan datang dengan penambahbaikan dari semasa ke semasa,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah di Kampung Pituru, Taman Pantai Lok Kawi, Rabu.

Pertandingan itu mempertandingkan dua kategori iaitu lampu pelita ‘susul’ dan lampu berhias, dengan pemenang setiap kategori membawa pulang wang tunai RM1,500 berserta hamper.

Bagi kategori pelita ‘susul’, Mazlan Mayut dari Kampung Pituru muncul juara, diikuti Mohd Khairi Abd Latip (Kampung Pasir Putih) dan Muhammad Annas Mahadzir (Kampung Lembising).

Sementara itu, kategori lampu berhias dimenangi Baijuri Deris dari Kampung Muhibbah, diikuti Shahrizal Azman dan Rina M Abdullah, masing-masing dari Kampung Contoh.

Pertandingan yang berlangsung dari 10 hingga 18 Mac itu melibatkan Kampung Lembising, Kampung Muhibbah, Kampung Contoh, Kampung Meruntum, Kampung Pituru, Kampung Pasir Putih dan Kampung Sri Pandan.