KOTA KINABALU: Lima lelaki direman bagi membantu siasatan kes serangan terhadap seorang guru dalam kejadian khianat dan ugutan jenayah yang tular berhampiran Jesselton Quay pada Sabtu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, kesemua suspek warga tempatan ditahan dalam operasi segera susulan laporan yang diterima.
“Bertindak atas maklumat, pihak polis telah menjalankan operasi segera dan berjaya menahan lima lelaki tempatan bagi membantu siasatan. Permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat bagi melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan media.
Menurut beliau, laporan dibuat pada 28 Mac 2026 kira-kira jam 2.35 petang oleh seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang juga seorang guru.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar jam 1.45 petang selepas mangsa menghadiri satu majlis di Sabah International Convention Centre (SICC) sebelum menuju ke kenderaannya di kawasan parkir berhampiran gudang sebuah syarikat kurier di Pelabuhan Kota Kinabalu.
Katanya, mangsa berdepan beberapa individu dipercayai pekerja premis berkenaan sebelum berlaku provokasi lisan yang mencetuskan ketegangan.
“Dalam keadaan itu, mangsa bertindak mengundurkan kenderaan dan secara tidak sengaja terlanggar sebuah kenderaan lain,” katanya.
Susulan insiden itu, beberapa individu bertindak mengejar kenderaan mangsa sebelum memecahkan cermin bahagian pemandu serta cermin belakang, selain mengugut mangsa supaya keluar dari kenderaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.






