Kerajaan Perketat Kawalan Bahan Api di Sempadan, Kekang Ketirisan dan Penyorokan –...

Kerajaan Perketat Kawalan Bahan Api di Sempadan, Kekang Ketirisan dan Penyorokan – Armizan

0
SHARE

KELANTAN: Kerajaan memperketat kawalan serta memperkukuh pemantauan pengedaran bahan api di seluruh negara, khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti pintu sempadan, bagi membendung aktiviti penyelewengan, ketirisan dan penyorokan yang semakin meningkat susulan krisis tenaga global.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, risiko ketirisan bahan api kini semakin tinggi berikutan konflik di Asia Barat yang memberi kesan langsung kepada kestabilan bekalan tenaga.

“Kerajaan kekal komited bukan sahaja memastikan kestabilan bekalan, malah memperketat kawalan serta memperkukuh pemantauan pengedaran bahan api, khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti pintu sempadan negara,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pengoperasian dua stesen minyak di Rantau Panjang, Kelantan yang terletak berhampiran pintu masuk sempadan negara jiran, bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan serta menilai tahap kesiapsiagaan pengusaha dan penguat kuasa.

Menurutnya, kerajaan telah melaksanakan langkah tegas termasuk larangan pembelian Petrol RON95 kepada warga asing serta sekatan penggunaan kad kredit dan debit asing di stesen minyak yang berkuat kuasa mulai 1 April lalu.

“Pegawai penguat kuasa KPDN juga ditempatkan secara statik di semua stesen minyak berhampiran sempadan di seluruh negara bagi memantau dan mengekang sebarang aktiviti mencurigakan secara lebih berkesan dan berterusan,” katanya.

Armizan menegaskan, tiada kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan termasuk pengusaha stesen minyak yang didapati bersubahat membenarkan pengisian Petrol RON95 kepada kenderaan asing.

“Peraturan ini wajib dipatuhi oleh semua pihak. Tindakan undang-undang akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran,” tegasnya.

Tambah beliau, kerajaan akan terus mempertingkat operasi pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa termasuk pelaksanaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) yang digerakkan sejak 16 Mac lalu dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan.

Dalam masa sama, beliau menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan.

“Saya menyeru orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan agar tindakan segera dapat diambil dan ketirisan dapat dibendung daripada terus berpanjangan,” katanya.