TENOM: Kerajaan Sabah terus memperkukuh sektor pelancongan berasaskan budaya melalui Projek Meningkatkan Produk Pelancongan di Pusat Kebudayaan Murut Sabah, Tenom (PKMST) yang menekankan pemeliharaan warisan masyarakat Murut.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, projek itu dibangunkan berteraskan keaslian, penceritaan sejarah dan pengalaman imersif bagi menarik pengunjung menghayati budaya Murut secara lebih mendalam.
Antara komponen utama ialah pembinaan Rumah Tengkorak yang bakal menjadi bangunan ikonik serta pusat interpretasi budaya, mempamerkan sejarah, artifak tradisional dan bahan pameran berkaitan asal-usul masyarakat Murut.
Selain itu, projek turut melibatkan pembinaan 10 pondok kuburan yang mewakili sub-etnik Murut seperti Murut Tagol, Timugon dan Tangara, dengan reka bentuk seni bina tersendiri bagi menggambarkan identiti masing-masing.
Menurut beliau, pembangunan ini bukan sahaja produk pelancongan, tetapi juga platform pendidikan budaya yang mampu memperkukuh identiti tempatan serta memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Projek bermula 6 Mei 2025 itu dijangka siap pada 6 Mei 2026 dengan kos RM825,559.
Datuk Jafry yakin ia akan menjadi ikon pelancongan budaya baharu di Tenom dan memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi warisan bertaraf dunia.






